BADAR AL-KUBRA: PERTEMBUNGAN ANTARA TENTERA ALLAH DAN TENTERA TOGHUT

Pada hari ini (17 Ramadan) tahun kedua hijrah telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang tidak wajar dilupakan oleh seluruh umat Islam. Peristiwa tersebut ialah peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang merupakan satu pertembungan antara tentera yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera kuffar Quraisy.

Peristiwa ini adalah merupakan permulaan operasi jihad al-qital di dalam Islam dan tenteranya yang berjumlah 313 orang daripada kalangan sahabat merupakan batalion syuhada yang menyaksikan seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah menemui syahid. Bermula peperangan ini gerakan jihad di dalam Islam tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehinggalah hari Qiamat.

Walaupun peperangan ini bukanlah satu peperangan yang besar dari segi jumlah, masa dan saiznya kerana tidak berlarutan lebih daripada sehari manakala jumlah korbannya hanya 14 di pihak muslimin dan 70 di pihak musyrikin, tetapi kesan yang diperolehi daripadanya amat besar. Ianya tidak sama dengan peperangan lain yang memakan masa selama bertahun-tahun bahkan berpuluh tahun serta angka korban yang mencapai angka puluhan ribu kerana apa yang dinilai ialah objektif peperangan ini yang melakar sejarah permulaan pertembungan berdarah antara kebenaran dan kebatilan, antara tauhid dan juga syirik sehingga digelar dalm al-quran sebagai yaum al-furqan (hari pemisahan):

(وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان)

“Dan tidaklah kali turunkan kepada hamba kami pada hari Al-Furqan pada Hari pertemuan dua pihak”

Rasulullah s.a.w sendiri telah menzahirkan kepentingan dan kehebatan peperangan ini dengan satu doa baginda sehingga kain rida’ yang dipakai baginda terjatuh daripada bahunya ketika mengangkat tangan kerana bersungguh-sungguh dalam doanya yang mana ianya berbunyi:

"اللهم انصر هذه العصابة، اللهم إن تهلك هذه العصابة فلن تُعبد في الأرض بعد اليوم"

“Ya Allah, Kau Berilah kemenangan kepada kaum ini, Ya Allah sekiranya hancurnya kaum ini maka nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selepas hari ini”

Maksud yang ingin dinyatakan oleh baginda dalam doa ini adalah kepenting peperangan yang sedang dihadapi kaum muslimin yang mana ia akan menentukan nasib agama Islam dan tauhid serta ibadah kepada Allah kerana kumpulan muslimin tersebut merupakan kumpulan sahabat yang membawa agama Allah yang terakhir dan tiada lagi Nabi selepas Muhammad serta tiada lagi kitab selepas Al-Quran serta tiada lagi syariat selepas syariat Islam. Sekiranya kumpulan badar ini tewas nescaya akan tewaslah Islam dan berakhirlah agama tauhid di muka bumi ini.

Dalam peperangan ini telah berlaku beberapa babak-babak yang membuktikan ketinggian keimanan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan kejayaan baginda mentarbiyah para jamaah muslimin samada kaum ansar dan muhajirin yang dibentuk di dalam madrasah nabawiyyah selama 13 tahun di Makkah dan selepas 2 tahun di Madinah.

Ketika mana Rasulullah bermusyawarah dengan para sahabat berkaitan kesediaan mereka untuk pergi berperang maka salah seorang daripada mereka yang bernama saidina Miqdad bin Al-Aswad berkata:

: يا رسول الله والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون، بل نقول لك اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون

“Wahai Rasulullah, Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana seperti mana berkatanya Bani Israel kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dan tuhanmu dan berperanglah kamu berdua sedangkan kami ingin tinggal di sini, tetapi kami berkata kepadamu: Pergilah kamu dan tuhanmu maka berperanglah sesungguhnya kami akan berperang bersama kamu berdua”

Berkata pula saidina Saad Bin Muaz yang mewakili kaum Ansor:

يا رسول الله كأنك تريدنا، والله يا رسول الله لقد آمنا بك وصدَّقناك وأيقنا أن ما جئت به هو الحق، والله لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه وراءك ما تخلف منا رجل واحد وإنا لصُبُر في الحرب، صُدُق عند اللقاء، سالم بنا من شئت وحارب بنا من شئت لعل الله يريك منا ما تقر به عينك

“Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu menginginkan kami. Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya kami beriman pada denganmu dan kami membenarkan kamu dan kami yakin sesungguhnya apa yang dibawa kamu adalah kebenaran. Demi Allah sekiranya dibentangkan kepada kami lautan luas kemudian engkau merentasinya nescaya kami akan merentasinya bersama di belakangmu dan tidak akan ada orang yang tertinggal walaupun seorang. Sesungguhnya kami orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan, berdamailah dengan sesiapa pun yang engkau mahu bersama kami dan perangilah sesipa pun yang engkau mahu bersama kami semoga Allah menunjukkan apa yang menyejukkan matamu.”

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar menerusi peristiwa peperangan badar semoga iman kita di bulan Ramadan ditingkatkan oleh Allah.

Petikan: http://ibnubarqi.blogspot.com/

0 ulasan:

Copyright © 2009 - Serambi Azhari - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Blogger Theme distributed by FREE Templates 4U