فقه الأضحية


Taarif (( الأضحية )) :


Istilah Syarak: Binatang yang disembelih samada unta, lembu atau kambing bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah Taala pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq.

Dalil-dalil Pensyariatan:
(1) Firman Allah Taala:
'maka lakukan sembahyang kerana tuhanmu, dan berkorbanlah 'sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah'.

Yang di maksudkan dengan "النحر" ialah sembelihan korban menurut pendapat yang sahih dikalangan mufassir selepas sembahyang hari raya.

(2) Sabda Rasul SAW:
'Adalah Baginda SAW melakukan korban dengan dua ekor kambing biri-biri' kata Anas: 'Aku juga melakukan korban dengan dua ekor kambing biri-biri'.

(3) Pada riwayat yang lain: 'Rasul SAW telah menyembelih korban dengan dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk, Baginda menyembelih kedua-duanya sendiri, Baginda membaca “basmalah” serta bertakbir dan meletakkan kaki baginda diatas tengkuk kedua-dua kibasy itu'.

Hikmah Pensyariatan:

Korban الأضحية : Menghidupkan kembali sunnah Nabi Ibrahim AS yang telah diuji oleh Allah Taala dengan memerintahkan baginda menyembelih anaknya Ismail AS. Baginda Nabi Ibrahim AS akur dengan arahan tersebut dan bersiap untuk melaksanakan perintah itu. Lalu Allah Subhanahuwa Taala menurunkan pengganti kepada Nabi Ismail dengan seekor kambing kibasy (kambing biri-biri). Lalu diperintahkan agar disembelih kibasy tersebut kemudian disedekahkan dagingnya kepada ahli keluarga dan fakir miskin agar mengembirakan mereka pada hari raya Aidil Adha.

Hukum الأضحية Melakukan Korban :

(1) Adalah 'Sunat Muaakad' (سنة مؤكدة).
Sebagai satu syiar yang agong dan sepatutnya kepada umat Islam memeliharanya, seperti yang disebutkan dalam hadis Saidina Anas tadi.

(2) 'Sunnah ala Kifayah' (سنة على كفاية: ليفعلها مرة ويتركها مرة).
Contohnya, apabila salah seorang ahli keluarga telah melakukan ibadah korban maka terhasil sunat pada hak ahli keluarga yang lain.

(3) Sembelihan korban adalah tidak wajib.
Berdasarkan perbuatan Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA yang tidak melakukanya, kerana bimbang dianggap oleh umat ianya sebagai perkara wajib.

(4) Korban boleh menjadi wajib dalam dua keadaan:
(تعيين الأضحية) :
a. Contohnya, seseorang mengisyaratkan kepada unta atau lembu atau kambing miliknya dengan perkataan "ini akan kujadikan binatang korbanku".
Dengan ucapan tersebut menjadi wajib kepadanya untuk melaksanakan dan ia termasuk dalam hukum-hakam sembelihan korban yang wajib.
Ianya tidak menjadi wajib sekiranaya hanya sekadar niat tanpa dilafazkan.

(يعني: لا بد من التلفظ مالك الأنعام)

b. Bernazar untuk melaksanakan korban:

Apabila seseorang islam bernazar, menjadi wajib keatasnya melaksanakan nazar tersebut. Ini kerana ia telah mewajibkan dirinya dalam perkara yang boleh menghampirkan dirinya 'qurbah' kepada Allah S.W.T. Demikian juga dalam perkara-perkara taat yang lain.

Mereka Yang Dituntut Untuk Melakukan Korban:

Terdapat tiga syarat:

1. Islam:
Tidak dituntut kepada orang kafir, sekiranya mereka melakukannya tidak sah.
2. Cukup umur dan beraqal:
Kanak-kanak dan orang gila tidak dituntut keatas mereka oleh hukum.
3. Berkemampuan:
Orang yang ingin melaksanakannya mestilah cukup nafkah untuk diri sendiri dan orang yang dibawah tanggungannya dari segi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan selainnya sepanjang tempoh hari raya dan hari-hari Tasyriq.

Binatang-Binatang Yang Dibenarkan Untuk Perlaksanaan Korban:

a- Tidak boleh korban melainkan dengan haiwan ternakkan (الأنعام), iaitu unta, lembu dan kambing. (sebab selain itu tiada pengkhabaran dari Nabi SAW dan para sahabat).
Firman Allah Taala :

'Agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah berupa haiwan ternakkan'.

Haiwan ternakkan meliputi tiga jenis:

(1) Semua jenis unta.
(2) Semua jenis lembu, termasuk kerbau. Tidak boleh jenis lembu liar, rusa dan seladang (بقر الوحش).
(3) Semua jenis kambing, termasuk kambing biasa dan kambing biri-biri.(معز, ضأن، كباش, خروف).

b- Boleh disembelih binatang korban samada jantan atau betina.

Riwayat dari Nabi SAW:

Daripada Ummu Kurzin dari Nabi SAW bersabda: ‘bagi kanak-kanak lelaki dua ekor kambing dan kanak-kanak perempuan seekor kambing, tidak mengapa samada kambing tersebut jantan atau betina'.

Hadis ini adalah dalil kepada ibadah 'aqiqah', namun ia juga menjadi dalil atas membolehkan untuk ibadah korban. (Daging jantan sangat elok أطيب dan daging betina itu lembut أرطب ).

c- Di bolehkan bagi seekor unta dan seekor lembu untuk tujuh orang. Samada mereka yang ingin melaksanakan tersebut daripada satu keluarga atau dari keluarga yang lain. Juga samada niat mereka semua sama atau berbeza-beza (yakni korban wajib atau sunat).

Riwayat dari Jabir RA berkata : 'Kami telah melakukan korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah bagi seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu tujuh orang'. Adapun seekor kambing hanya untuk seorang sahaja.

d- Korban dengan unta lebih afdhal dari lembu, kerana unta lebih besar nisbah dagingnya.
- Lembu lebih afdal dari kambing kerana seekor lembu membolehkan untuk tujuh orang berbanding seekor kambing yang hanya untuk seorang.
- Setiap orang dengan seekor kambing pula lebih afdhal daripada berkongsi tujuh orang dalam seekor unta atau lembu, kerana kambing bersendirian pada sembelihannya.
- Kambing biri-biri lebih afdhal dari kambing biasa.

Riwayat dari Ubadah Bin Samit RA: 'Sebaik-baik korban itu dengan kambing biri-biri yang bertanduk'.

- Kerana daging kambing biri-biri 'atyab' lebih elok. Kambing biri-biri warna putih lebih elok daripada warna perang dan hitam.

Riwayat dari Anas RA; 'bahawa Nabi SAW melakukan korban dengan dua ekor kambing biri-biri yang berwarna putih'.

e- Diharuskan korban dengan binatang yang gemuk 'berisi' kerana ia lebih afdhol dari binatang yang kurus. (Nisbah yang gemuk lebih banyak dagingnya).

Syarat-Syarat Korban :

1. Haiwan ternakkan;
Tidak boleh selain darinya, seperti disebuat diatas.
2. Umur:
Disyaratkan pada binatang korban adalah cukup umur, ianya berbeza mengikut jenis.
(a) Unta:
Umur tidak kurang dari lima tahun dan menjangkau masuk umur enam tahun.
(b) Lembu dan kambing biasa معز :
Umur tidak kurang dari dua tahun dan menjangkau masuk umur tiga tahun.
(c) Kambing biri-biri:
Umur tidak kurang dari setahun dan menjangkau masuk umur dua tahun. Kecuali kambing biri-biri yang (أجذع ) matang (dilihat pada gugur gigi-giginya) sebelum setahun.
Berdasarkan umum sabda Rasul SAW:
"Lakukanlah korban pada kambing biri-biri yang telah matang kerana ia dibolehkan"

Riwayat dari Jabir RA bahawa Rasul SAW bersabda:

'Jangan kamu sembelih melainkan yang cukup umurnya melainkan sekiranya susah untuk kamu mendapatinya maka sembelihlah yang matang daripada kambing biri-biri'.

Riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasul SAW bersabda:
'Sebaik-baik korban ialah yang matang dari jenis kambing biri-biri'.

3. Tiada Sebarang Aib:
Disyaratkan pada binatang korban mestilah tiada sebarang aib yang boleh mengurangkan daging pada ketika itu atau waktu mendatang. Kerana tujuan dari ibadat korban ialah daging.
- Jadi tidak boleh yang huduh, buruk العوراء dan buta العمياء.
- Tidak boleh yang tersangat tempang العرجاء . Yang tampak sangat tempangnya jika ia berjalan dipermukaan tanah yang rata.
- Tidak boleh yang tesangat nyanyok العجفاء iaitu hilang akalnya kerana nyanyok.
- Tidak boleh yang gila المجنونة . yang sekiranya dibawa ke padang rumput ia tidak makan ruput atau ia makan sedikit kemudian lupa.
- Tidak boleh yang tiada gigi.
- Tidak boleh yang terputus sebahagian telinga sekiranya sedikit tidak mengapa.
- Tidak boleh yang terputus sebahagian lidah kerana mudarat keadaannya boleh mempengaruhi kurang daging.
- Tidak boleh yang jelas nampak berpenyakit.
- Tidak boleh yang jelas berkurap samada sedikit atau banyak.

Diriwayatkan oleh Bara' Bin Azib RA bahawa Nabi SAW bersabda :
'Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban, huduh yang jelas huduhya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas tempangnya, dan gila yang jelas gilanya'.

Dikiaskan keempat-empat aib ini pada selainnya (segala perkara yang boleh mengurangkan daging).

Di bolehkan sekiranya aib-aib itu terlalu sedikit dan tidak mempengaruhi berkurangnya daging.
- Dibolehkan pada binatang yang dikasi.
- Dibolehkan binatang jantan yang kuat mengawan.
- Dibolehkan binatang betina yang walaupun kerap beranak namun tidak elok dagingnya.
- Dibolehkan tetapi makruh binatang yang tidak tumbuh tanduk, terpecah sarung tanduk, terpatah tanduk atau yang berlubang cuping telinga. (makruh disebabkan nampak buruk, tetapi boleh dijadikan korban kerana semua itu tidak mengurangkan dagingnya).
- Dibolehkan binatang yang bertelinga kecil dan tidak boleh yang tidak tumbuh telinga.
- Di bolehkan yang dilahirkan tanpa tetek (uncang susu) dan ekor pada pendapat yang 'asoh', dan tidak boleh sekiranya yang terputus uncang susu atau ekor sebahagian atau semuanya.
- Boleh bagi yang luruh sebahagian gigi, dan tidak boleh yang luruh semua gigi mengikut pendapat yang 'asoh'.

Apabila seseorang bernazar untuk melakukan korban binatang yang ditentukan تعيين الأضحية dalam keadaan binatang yang ditentukan tersebut terdapat aib yang dilarang, tetap juga wajib .

Seperti seorang berkata kepada kambingnya yang ada aib: 'haiwan ini adalah korbanku', maka wajib ia melaksanakannya, (nazar tersebut akan diberi pahala tetapi tidak menjadi ibadat korban, ia hanya menjadi 'qurbah'. Daging yang dibedak-bedakkan menjadi sedekah), kerana syarat korban mestilah sejahtera dari aib.

Sekiranya dibaringkan binatang korban yang tiada aib untuk disembelih, tiba-tiba membawa kepada patah kakinya atau tempang maka tidak boleh atas pendapat yang 'asoh', kerana ia tempang sebelum disembelih. Sepertinya juga sekiranya terpatah kaki kambing lalu disegerakan untuk disembelih maka ia tidak boleh.

4. Niat:
Disyaratkan niat pada korban kerana ia adalah ibadat.
-Di niatkan ketika hendak sembelih, kerana asal niat disertakan pada awal perbuatan. Melainkan sekiranya telah 'ditaayinkan' terlebih dahulu kambing tersebut maka sudah memadai itu sebagai niat.
- Sekiranya ia mewakilkan sembelihan kepada orang lain maka hendaklah niat ketika menyerahkan binatang tersebut kepada orang yang diwakilkan. Atau ketika wakilnya memulakan sembelih.(kerana orang yang diwakilkan itu mengantikan dirinya).

Waktu Perlaksanaan Korban:
Bermula waktu korban setelah terbit matahari pada hari raya Aidil Adha, iaitu pada sepuluh Zulhijjah, dan berlalu waktu setelah terbit matahari sekadar dua rakaat sembahyang hari raya dan dua khutbah yang ringkas, jika disembelih sebelumnya maka tidak sah.

Diriwayatkan oleh Bara' bin Azib RA bahawa Rasul SAW bersabda:
'Pertama sekali yang kami mulakan pada hari ini ialah sembahyang hari raya, kemudian kami pulang, kemudian kami menyembelih, sesiapa yang melakukan sedemikian itu ia menepati sunnah kami, dan sesiapa yang sembelih sebelum yang demikian itu maka ia adalah daging yang disedekahkan kepada keluarganya, dan tiada daripadanya sesuatu ganjaran ibadah'.

Berterusan waktu korban hingga akhir hari-hari tasyriq, iaitu selama empat hari.

Riwayat dari Jubair Bin Mut'im: bahawa Rasul SAW bersabda:
'Hari-hari tasyriq itu semuanya waktu sembelih'.

Dan waktu afdholnya dilakukan setelah terbit matahari pada hari raya Aidil Adha, selepas berlalu kadar sembayang sunat hari raya dua rakaat dan dua khutbah. Apabila disembelih selepas waktu ini diberi ganjaran pahala, samada imam telah mengimami sembahyang hari raya atau tidak, atau yang ingin melakukan korban telah sembahyang hari raya atau tidak. Tidak kira samada dia adalah orang bandar atau orang kampung atau orang yang musafir. Atau samada imam telah menyembelih binatang korbannya atau tidak.

Boleh menyembelih korban sepanjang empat hari tersebut samada malam atau siang, (tetapi dimakruhkan waktu malam).
Jika disembelih sebelum waktunya tidak sah sembelihannya itu bahkan hanya menjadi daging sembelihan biasa.
Apabila berlalu hari tasyriq tetapi belum lagi sembelih, sekiranya binatang yang disembelih itu untuk tujuan ibadah korban maka tidak sah. Kerana ia bukan waktu yang disunatkan korban.
Jika disembelih juga, hanya menjadi semata-mata daging (bukan ibadah).
Sekiranya binatang yang hendak disembelih itu nazar, maka wajib disembelih juga, jadilah ia sebagai 'qodo', (nazar tidak gugur walaupun telah berlalu waktu).
Tempat Sembelihan Korban:
Tempat sembelihan korban ialah ditempat untuk buat korban samada di negerinya atau tempat permusafirannya.

Memakan Daging Korban:
Terdapat perbezaan diantara korban sunat dan korban yang ditentukan atau yang dinazar.
a- Sekiranya korban sunat:
Boleh makan sebahagian daging korban, qias sepertimana hadyu الهدى (korban yang dilakukan ditanah haram).
Firman Allah Taala:
'Dan unta-unta itu kami jadikan untukmu sebahagian dari syiar agama Allah'.
Allah Taala menjadikannya untuk manusia, jadi terpulang kepada manusia memilih untuk makan atau tidak.

Tetapi sunat di makan sebahagian sahaja daripadanya.
- Disunatkan makan satu pertiga dan disedekahkan dua pertiga kepada orang miskin, boleh juga menghadiahkan satu pertiga darinya kepada orang kaya atau selainnya.
- Jika hendak makan lebih banyak maka wajib bersedekah walaupun sedikit kepada orang miskin dengan kadar yang dinamakan sedekah, kerana maksud dari ibadat korban ialah meyenangkan orang miskin.
- Sekiranya telah termakan semuanya maka wajib keatasnya membayar ganti ضمان dengan kadar yang dinamakan sedekah.
- Lebih afdhol ia mensedekah keseluruhan daging korban tersebut kecuali sedikit untuknya sekadar sekali kenyang لقمة untuk mendapat keberkatan. Kerana sedekah itu lebih mendekatkan kepada taqwa, menjauhkan dari mementing diri sendiri.

b- Sekiranya korban nazar atau wajib (dengan sebab 'taayin') ditentukan:
maka tidak boleh makan daripadanya.
Sekiranya dimakan juga maka wajib keatasnya 'ضمان' ganti.
Tidak diwajibkan keatasnya menyembelih yang lain tetapi diganti dengan nilai daging kemudian disedekahkannya.
Demikian juga sekiranya orang lain merosakkannya maka ia perlu menggantikannya.
Larangan Menjual Daripada Korban:
Tidak boleh menjual sesuatupun daripada binatang sembelihan korban. Samada korban nazar atau sunat, termasuk didalamnya daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan selainnya. Tidak boleh menjadikan kulit atau selainnya sebagai upah kepada tukang sembelih, tetapi boleh disedekahkan kepadanya.
Riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasul SAW bersabda:
'Sesiapa yang menjual kulit korban maka tiadalah ibadah korban baginya'.
Boleh memberi upah kepada tukang sembelih yang miskin kemudian disedekahkan kepadanya daging korban atau kulit, ia umpama memberikan kepada fakir miskin yang lain.

Mengambil manfaat Dengan Kulit Sembelihan Korban:
- Sekiranya korban itu sunat maka harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit korban tersebut dengan segala bentuk manfaat. (dibuat khuf, kasut, selipar, baju dan sebagainya).
- Sekiranya korban wajib samada 'taayin' atau nazar maka tidak boleh mengambil manfaat sedikitpun darinya dan wajib disedekahkan semuanya.

Sunat-Sunat Dalam Ibadat Korban Dan Adab-Adabnya:
1. Disunatkan bagi mereka yang ingin melakukan ibadat korban, tidak mencukur rambut atau bulu dimuka dan dibadannya setelah masuk sepuluh zulhijjah.
Serta tidak memotong kuku sehinggalah selesai sembelih.

Riwayat dari Ummu Salamah RA bahawa Rasul SAW bersabda :
'Sesiapa yang ada padanya binatang yang ingin dikorbankan, lalu ia melihat anak bulan zulhijjah maka jangan mencukur bulunya, dan memotong kukunya sehinggalah ia telah melakukan korban'.
Yang demikian itu tidak wajib kerana ia bukan daripada perkara yang diharamkan bahkan hanya 'makruh tanzih', (hikmah darinya ialah mengekalkan semua juzuk anggota mudah-mudahan dibebaskan dari api neraka), (dikatakan juga untuk menyerupakan seperti orang yang berihram).

2. Disunatkan menyembelih korbannya sendiri.
- Boleh juga digantikan kepada orang lain yang halal sembelihannya, lelaki atau wanita.
- Disunatkan tidak mewakilkan kepada selain orang islam, kerana ia adalah perkara 'qurbah'. Lebih afdhal di lakukan oleh orang islam, serta untuk keluar dari khilaf yang melarang orang bukan islam dari sembelih.
- Disunatkan kepada orang yang diwakilkan itu alim dengan hukum-hakam sembelih agar ia lebih mengetahui tentang sunnah sembelih.
- Apabila diwakilkan kepada orang lain untuk sembelih disunatkan kepada orang yang melakukan korban menyaksikan upacara sembelihan itu.

Riwayat dari Abu Said Al Kudri RA: Bahawa Rasul SAW telah bersabda kepada Fatimah RA :
'Bangun ke korbanmu dan saksikannya, sesunguhnya titisan pertama daripada darahnya diampunkan pada kamu dosa apa yang telah lalu'.

3. Disunatkan pada adab sembelih ialah menajamkan pisau, untuk memudahkan sembelihan, supaya ketika menghiris tarik dan tolak lebih sempurna.
- Disunatkan mengadap kiblat dan mengarahkan binatang korban kearah kiblat.
- Disunatkan menyembelih unta dalam keadaan berdiri tiga kaki (melipat lutut kedua-dua kaki hadapan).
- Disunatkan membaringkan lembu dan kambing atas lambung kiri, dengan melepaskan kaki kanan belakang dan diikat tiga kaki yang baki.
- Disunatkan membaca bismillah ketika sembelih. Sekiranya ditinggalkan dengan sengaja atau lalai halal sembelihan, tetapi tetap 'makruh karahah tanzih'. Disunatkan beserta bacaan bismillah ketika sembelih itu membaca selawat keatas Nabi SAW.

4. Disunatkan bagi penyembelih membaca bismillah dan bertakbir.
'Riwayat dari Anas RA bahawa Nabi SAW membaca bismillah dan bertakbir'.

- Disunatkan berdoa kepada Allah Taala dengan berkata :
"Ya Allah terimalah ibadat korban dari kami".

Riwayat dari Aisyah RA bahawa Nabi SAW menyembelih kambing biri-biri dan berkata:
'Dengan nama Allah, wahai tuhan terimalah dari Muhammad dan dari keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad'.

Setelah itu barulah disembelih binatang tersebut.
5. Disunatkan melakukan korban dirumah dengan disaksikan oleh ahli keluarga, untuk sama-sama mereka menyertainya dalam berdoa dan mendapat pahala selain bergembira dengan sembelihan dan menikmati daging.
6. Disunatkan kepada 'imam' pemimpin umat islam melakukan korban kepada umat islam keseluruhannya dari harta baitulmal di tempat sembahyang hari raya dan dia menyembelihnya sendiri.
- Sekiranya imam melakukan korban dengan wangnya untuk dirinya sendiri maka boleh dilakukanlah dimana sahaja yang ia kehendakki.
- Tetapi sekiranya ia melakukan korban untuk umat islam maka hendaklah di 'musolla' yang berhimpun padanya umat islam untuk sembahyang hari raya.
Riwayat dari Ibnu Umar RA berkata:
'Adalah Rasul SAW menyembelih dan melakukan korban di tempat sembahyang hari raya'.

7. Disunatkan orang yang musafir melakukan sepertimana orang yang bermustautin.
'Riwayat dari Aisyah RA: bahawa Nabi SAW: telah melakukan korban untuk isteri-isterinya di mina dalam haji wadak'.
Cabang-Cabang Dari Perkara Korban:

1. Korban lebih afdhol dari sedekah sunat, kerana berdasarkan hadis sohih yang masyhur dalam sembelihan, dan ada sebahagian ulamak yang mewajibkannya, selain ia juga merupakan syiar yang agong.
2. Tidak boleh bagi penjaga anak yatim dan penjaga orang kurang akal السفيه melakukan korban untuk mereka dengan harta mereka. Kerana syarak menyuruh penjanganya berjaga-jaga إحتياط terhadap harta mereka, dilarang mensedekahkan harta mereka, kerana korban adalah sedeqah.
3. Boleh memberi makan fakir miskin umat islam daripada korban secara ijmak, dan boleh memberi makan fakir 'ahli zimmah' dari korban sunat bukan dari korban wajib.
4. Tidak sah melakukan korban untuk orang lain yang hidup tanpa izinnya, kerana korban adalah ibadah. Asal pada ibadah tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan ada dalil, lebih-lebih lagi tanpa izinnya.
- Sekiranya melakukan korban oleh salah seorang ahli keluarga maka terhasil padanya 'sunah kifayah' terhadap ahli keluarga yang lain walaupun tidak diizinkan oleh ahli keluarga itu.
- Terkecuali korban yang dilakukan oleh imam kepada umat islam dari harta baitumal.
- Orang yang 'taayin' dan nazar, apabila orang lain menyembelihkan untuknya tanpa pengetahuannya pada waktu korban maka sudah sah.
5. Tidak sah korban dari orang mati yang tidak mewasiatkan, sekiranya diwasiatkan boleh, pendapat lain mengatakan sah juga korban orang mati walaupun tidak mewasiatkan, (diiktibar sedeqah).
6. Anak binatang korban menjadi hukum korban. Sekiranya dinazarkan ataupun di 'taayinkan' maka wajib sembelih anaknya bersamanya dan dibedakkan dagingnya seperti ibunya.

Wabillahittaufiq, Wallahu Taala A'lam..

Rujukan:
1. Terjemahan Al Quran Al Karem.
2. Mughni Muhtaj, Khateb Syarbeni.
3. Al Mahalli Syarah Minhaj Tolibin, Jalaluddin Mahalli.
4. Fathul Allam Syarah Mursyidul Anam, Muhammad Alhajjar.
5. Al Muktamad, Muhammad Zuhaili.
6. Al Fekhul Manhaji.

Petikan:MANHAL PMRAM

0 ulasan:

Copyright © 2009 - Serambi Azhari - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Blogger Theme distributed by FREE Templates 4U