Kiamat Semakin Hampir, RM 800 000 untuk Maharaja Lawak


Maharaja Lawak melabuhkan tirainya malam tadi dengan kumpulan Sepah menjadi juara pertandingan 13 minggu ini. Jangkaan Jozan akan menjuarai Maharaja Lawak meleset sama sekali.

Jambu menduduki tempat keempat dengan memenangi sejumlah wang tunai berjumlah RM 50 000. Nabil pula menduduki tempat ketiga dan memenangi wang tunai bernilai RM 150 000. Jozan pula dinobatkan sebagai naib juara dan memenangi wang tunai bernilai RM 250 000. Kumpulan Sepah dari negeri Johor telah dinobatkan sebagai juara dan memenangi wang tunai sebanyak RM 350 000.

Ini bermakna, sebanyak RM 800 000 telah dilaburkan semata-mata dalam hiburan yang berlangsung selama 13 minggu ini. Ini belum lagi termasuk jumlah wang rakyat yang secara sukarela dibelanjakan untuk mengundi peserta kesukaan masing-masing selama 13 minggu. Sudah tentu bukan sedikit jumlah wang yang dilaburkan untuk mengundi peserta kesukaan mereka. Kemungkinan jumlah wang yang dilaburkan oleh para pengundi SMS mencecah puluhan ribu atau ratusan ribu ringgit. Malah, tidak mustahil, jumlah wang yang dilaburkan oleh para pengundi mencecah jutaan ringgit!

Ternyata, Maharaja Lawak mempunyai aura yang tersendiri untuk menjadi ejen yang melalaikan umat Islam. Islam tidak melarang umatnya berhibur, namun fenomena Maharaja Lawak ini tampak begitu gah sekali, sehingga ummat rela melaburkan sejumlah wang yang besar walaupun tiada pulangan bagi diri mereka yang membuat undian SMS itu. Wang tunai yang dihadiahkan itu bukannya RM80, tetapi jumlahnya mencecah RM80 000.

Cuba bayangkan, jumlah wang yang dilaburkan oleh para pengundi SMS dan hadiah yang ditawarkan kepada para peserta itu digunakan untuk membantu pelajar yang sedang sengsara dengan PTPN. Berapa ramai pelajar yang sesak nafas akan berasa lega setelah mendapat peruntukan kewangan ini? Bayangkan sejumlah wang ini digunakan untuk menanggung kos perubatan. Berapa ramai ummat yang tidak mampu untuk menanggung kos perubatan dan dibiarkan mati begitu sahaja akibat tidak mampu untuk menanggung kos perubatan? Pernah kita terfikir? Bayangkan lagi, bagaimana pula sejumlah wang ini dilaburkan untuk membantu gerakan-gerakan Islam untuk menegakkan semula Daulah Khilafah? Bukankah ini satu pelaburan yang amat besar untuk bekalan di akhirat sana?

Tetapi masih ramai yang tidak pernah terfikir tentang perkara ini kerana kehidupan masyarakat masih dibelenggu arus hedonisme yang mematikan pemikiran yang Islami. Sebaliknya, masyarakat rela dan sanggup untuk melaburkan wang mereka untuk membuat undian SMS meskipun mereka sedia maklum, mereka tidak akan mendapat apa-apa pulangan sekiranya mereka mengundi peserta kegemaran mereka.

Bukankah ini suatu pelaburan yang sangat rugi dan tidak berbaloi? Sebaliknya, Allah SWT menjanjikan syurga dan kejauhan dari azab api neraka Allah SWT sekiranya umat Islam mewaqafkan diri dan wang mereka di jalan Allah! Masihkah kita ragu dengan janji-janji Allah?

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui" [TMQ as-Sof(61):10-11]

Wahai ummat Islam! Berhibur itu tidak dilarang oleh Allah SWT. Tetapi berhibur secara berlebih-lebihan dan melalaikan itu adalah haram. Bangkitlah daripada tidurmu yang dibuai angin bayu hedonisme yang mengasyikkan. Kalian diwajibkan untuk menegakkan semula Daulah Khilafah. Alangkah ruginya sekiranya kita lebih rela 'berjuang' di persada hiburan Maharaja Lawak dan berasa lengai untuk berjuang menegakkan semula Daulah Khilafah!

Leraikanlah ikatan hedonisme yang sedang mengikat kalian. Sesungguhnya budaya sukakan hiburan ini tidak lain hanyalah membawa keseronokan sementara sahaja. Maharaja Lawak yang sementara ini telahpun melabuhkan tirainya. Di manakah pulangannya buat para pengundi SMS? Di manakah keseronokannya setelah ia melabuhkan tirainya? Bukankah ia bersifat sementara? Justeru, marilah kita berjuang untuk menegakkan semula Daulah Khilafah yang membawa pulangan syurga di akhirat kelak!

petikan : http://www.soutulmujahid.com/

0 ulasan:

Copyright © 2009 - Serambi Azhari - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Blogger Theme distributed by FREE Templates 4U