Nafsu Tidak Akan Mengalah

Gambar Hiasan
1. Selain syaitan, manusia berhadapan dan bertembung dengan nafsunya. Ada manusia yang berjaya mengalahkan nafsunya, namun tidak sedikit yang tewas lalu nafsu yang menguasainya. Allah SWT jadikan pertembungan yang tidak dapat dilihat ini sebagai ujian untuk mengetahui sama ada manusia menang atau kalah dengan ujian nafsu.

2. Lebih jauh daripada itu, terdapat manusia yang telah menjadikan nafsunya sebagai tuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Jathiah ayat 23 bermaksud:

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur), dan ditutup pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diwujudkan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapakah kamu tidak ingat dan insaf?

3. Kita selalu lupa dengan musuh utama kita ini. Nafsu inilah yang sentiasa derhaka, menyuruh melakukan kejahatan, cenderung kepada nafsu syahwat dan maksiat. Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak leka. Kita hendaklah menghalang tabiat nafsu ini sebagaimana kita menghalang syaitan. Musuh kita sebenarnya bukanlah syaitan sahaja tetapi juga nafsu adalah di antara musuh-musuh kita. Al-Busairi (695H) seorang pujangga pernah berkata:

Janganlah kamu turuti nafsu dan syaitan, dan jauhilah keduanya. Sesungguhnya kedua-duanya sentiasa mencari peluang untuk menasihatimu.

4. Ketahuilah bahawa jenayah individu yang dilakukan oleh seseorang yang dirakamkan dalam al Quran sebenarnya adalah disebabkan oleh nafsu. Ia berlaku kepada anak nabi Adam yang telah membunuh saudaranya. Puncanya adalah mengikut hawa nafsu dan bukannya syaitan. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 30 bermaksud:

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya.

5. Perhatikan pula peristiwa yang berlaku kepada isteri Raja Mesir yang cuba melakukan sesuatu yang tidak elok terhadap Nabi Yusof. Wanita ini telah mengakui bahawa faktor dia melakukan demikian adalah nafsunya. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah Yusof ayat 53 yang bermaksud:

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan.

6. Lihat pula jenayah syirik yang dilakukan oleh Samiriy yang telah membuat patung anak lembu daripada emas sehingga orang ramai menyembahnya. Apabila ditanya oleh nabi Musa, dia menjawab bahawa nafsunya yang menjadi punca. Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 96:

Dia menjawab: Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam daripada kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya. Dan demikianlah nafsuku memujukku.

7. Teliti juga peristiwa yang bakal berlaku di akhirat nanti ketika pintu neraka ditutup, maka manusia yang berada dalam neraka datang daripada pelbagai penjuru mencela iblis. Iblis berlepas diri daripada manusia yang menurut nafsunya. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 22 bermaksud:

Dan berkatalah syaitan ketika perkara (hisab) telah diselesaikan: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan aku (sekadar) menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh sebab itu janganlah kamu mencela aku, akan tetapi celalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku.

8. Ketika manusia mengadu kepada Allah Azza wa Jalla pada bulan Rejab ini tentang maksiat dan dosa yang mereka lakukan kerana tipu muslihat syaitan, maka Allah SWT akan merantai syaitan pada bulan Ramadhan nanti sebagaimana yang dinyatakan oleh nabi SAW. Namun demikian, apa yang berlaku maksiat dan dosa masih juga berlaku pada bulan ini, melainkan mereka yang mendapat rahmat Allah SWT. Ini membuktikan bahawa faktor kepada perbuatan maksiat ini adalah nafsu bukannya syaitan.

9. Manusia yang memilih sendiri untuk melakukan ketaatan atau maksiat. Memilih taat bermaksud menguasai nafsunya, manakala memilih maksiat bermakna nafsu menguasainya. Allah Azza wa Jalla berfirman dalam surah al-Shams ayat 7-10:

Dan jiwa (nafsu) serta penyempurnaan (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa (nafsu) itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.

10. Bagi mereka yang mengusai nafsunya bakal mendapat ganjaran syurga daripada Allah Azza wa Jalla. Semua perkara yang dibenci oleh nafsu kita adalah penyebab masuknya syurga, manakala semua yang disukai oleh nafsu kita adalah penyebab masuknya neraka. FirmanNya dalam surah al-Nazi’aat ayat 40-41:

Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.

11. Kaedah untuk memperbetulkan akhlak ialah dengan menyanggahi semua yang disuruh oleh nafsu kita dan buatlah sebarang perkara yang dilarang oleh nafsu. Ini kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan. Jadi, kawallah diri dan nafsu kita dan ketahuilah bahawa Allah Azza wa Jalla akan memasukkan ke dalam rahmatNya bagi sesiapa yang menguasai diri dan menahan nafsunya. Allah Azza wa Jalla telah bersumpah dalam al-Quran sebagaimana firmanNya dalam surah al-Qiamah ayat 1-2:

Aku bersumpah dengan hari kiamat. Dan Aku bersumpah dengan jiwa (nafsu) yang selalu menyesali (dirinya sendiri).
12. Nafsu Lawwamah ini ialah nafsu yang sentiasa menyesal lalu mencela dirinya, kerana telah melakukan maksiat. Jadi kita perlulah sentiasa muraqabah (mengawal), muhasabah (menghitung diri) dan mujahadah (bersungguh-sungguh). Ini kerana jalan ke syurga dipenuhi dengan kesukaran, sebaliknya jalan ke neraka pula dipenuhi dengan keseronokan. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:

Jalan ke syurga dipenuhi dengan kesusahan dan jalan ke neraka dipenuhi dengan keseronokan. (Riwayat Muslim)
13. Jangan sesekali tertipu dengan tipu helah nafsu kita dan jadilah dalam kalangan mereka yang mempunyai jiwa yang tenang yang disebut oleh Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Fajr ayat 27-30 bermaksud:

Wahai nafsu yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.

14. Kita hendaklah menjadi daripada kalangan hambaNya yang mempunyai jiwa yang tenang lalu menjadi golongan yang berjaya di hari akhirat kelak. Kita juga perlu berjaya mengalahkan nafsu sebelum berhadapan dengan syaitan. Orang yang cerdik ialah, mereka yang sentiasa melawan nafsunya dan mereka yang melakukan amalan untuk kehidupan selepas mati.

15. Kesimpulannya, nafsu itu ada tiga; ammarah bissu’ (menyuruh kejahatan), lawwamah (sentiasa menyesal) dan mutmainnah (tenang). Nafsu tidak akan mengalah kepada manusia terutamanya yang ammarah bissu’. Berusahalah sambil berdoa :

اللهم آت نفوسنا تقواها وزكها أنت خير من زكاها أنت وليها ومولاها
Ya Allah ya Tuhan kami, berilah kepada jiwa (nafsu) kami yang bertakwa dan sentiasa menyucikannya. Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya, Engkaulah penolong dan pelindungnya.

petikan: http://hjanhar.blogspot.com/

0 ulasan:

Copyright © 2009 - Serambi Azhari - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Blogger Theme distributed by FREE Templates 4U