Tak Kenal Tak Cinta-Keistimewaan Al Quran

Allah telah memuliakan kita kaum muslimin dengan menurunkan sebaik-baik kitab iaitu al-Quran sepertimana Allah memuliakan kita dengan mengutuskan sebaik-baik rasul. Kaum muslimin adalah satu-satunya umat yang mempunyai perutusan dari langit yang terpelihara daripada penyelewangan dan kebatilan. Perkara ini disebabkan kerana Allah sendiri yang memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami yang memeliharanya.” (al-Hijr, ayat 9)

Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati-hati manusia ke arah jalan kebaikan dan kebajikan. Antara ciri-ciri dan keistimewaan al-Quran adalah:


Pertama, ia merupakan kitab ilahi iaitu datangnya dari Allah yang tidak ada keraguan padanya.
Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat Jibrail. Firman Allah yang bermaksud : "Suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara teperinci yang diturunkan di sisi Allah Yang Maha Bijaksana lagi maha Mengetahui.” (Hud, ayat 1).

Kedua ialah al-Quran merupakan kitab yang terpelihara sepertimana jaminan yang telah diberikan oleh Allah untuk memeliharanya. Oleh demikian, kita dapati begitu ramai orang yang menghafal al-Quran dengan baik sejak kanak-kanak lagi dan Allah memudahkan mereka untuk mengingatinya. Pemeliharaan tersebut juga didapati dengan penulisan al-Quran yang rapi oleh para sahabat selepas ayat-ayat tersebut diturunkan dan dibukukan pada zaman khulafa’ al-Rasyidin.

Ketiga,al-Quran merupakan kitab mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada Nabi Muhammad Saw yang mencabar kekuatan dan pemikiran manusia
. Manusia tidak mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan cerita-cerita yang terkandung di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datanglah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” (al-Baqarah, ayat 23-24)
.

Keempat, al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang mengandungi teori-teori yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” (al-Qamar, ayat 17).

Kelima, al-Quran merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandung aspek akidah, ibadah, akhlak dan perundangan. Sesiapa yang ingin memahami akidah yang betul dan suci, maka hendaklah ia menggali dari al-Quran. Al-Quran memberi dalil-dalil yang jelas tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud : “ Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah kedua-duanya telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai Arash daripada apa yang mereka sifatkan.” ( al-Anbiya’, ayat 22) Begitu juga al-Quran mengandungi syariat dan peraturan untuk kehidupan manusia. Syariat ini meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Di samping itu, al-Quran menegaskan pembinaan akhlak melalui penghayatan sifat sabar, gigih berusaha, tekun, bertawakkal dan reda dengan ketentuan ilahi.

Keenam, al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu.
Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat. Oleh itu, tidak harus kaum muslimin mengatakan bahawa al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai lagi pada zaman moden ini.


Ketujuh, al-Quran merupakan kitab kemanusiaan dan kehidupan.
Oleh sebab itu, Allah menjadikan al-Quran sebagai kitab petunjuk kepada manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : “ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” (al-Baqarah, ayat 185).

Inilah tujuh perkara ciri-ciri keistimewaan al-Quran yang membezakan kitab-kitab yang lain. Al-Quran diturunkan untuk umat Islam mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenarannya. Allah menyebutkan bahawa sifat mukmin sejati adalah mereka yang tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran. Nabi Muhammad Saw apabila tiba bulan Ramadhan baginda akan bertadarus bersama Jibrail, dan rumah yang sentiasa diterangi dengan bacaan al-Quran akan dilimpahi rahmat dan berkat. Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat segala perintah al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan menjadikan kita sebagai ahli al-Quran., bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi juga dalam bulan-bulan yang lain.

Petikan:

http://jihadtegakislam.blogspot.com/2010/03/tak-kenal-tak-cinta-keistimewaan-al.html

0 ulasan:

Copyright © 2009 - Serambi Azhari - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Blogger Theme distributed by FREE Templates 4U